SINGAPURA: Mantan ketua pegawai pelaburan GIC, Ng Kok Song, pada Rabu (19 Jul) mengumumkan niatnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden Singapura.
Tokoh korporat berusia 75 tahun itu, yang bercakap kepada media selepas mengambil borang kelayakan daripada Jabatan Pilihan Raya (ELD), berkata keputusannya itu didorong "keprihatinan terhadap integriti institusi-institusi negara kita sejak kebelakangan ini".
Encik Ng menjadi individu ketiga yang menyuarakan hasratnya untuk bertanding. Mantan Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam merupakan individu pertama untuk berbuat demikian pada 8 Jun, disusuli dengan usahawan George Goh pada 12 Jun.
Penggal enam tahun Presiden Halimah Yacob akan berakhir pada 13 September dan beliau sudahpun mengatakan tidak akan ikut bertanding.
ELD sebelum ini menjelaskan bahawa Pilihan Raya Presiden boleh diadakan bila-bila masa sahaja bermula 13 Jun, dan jika ia tidak diadakan apabila penggal Presiden Halimah berakhir, ia akan diadakan tidak lama selepas itu.
Berikut antara perkara yang diketahui tentang Encik Ng:
KEHIDUPAN PERIBADI
Encik Ng dilahirkan dalam keluarga Teochew yang hidup sederhana. Beliau dahulu tinggal di rumah berlantaikan tanah di Kangkar, iaitu di Sengkang yang dahulu sebuah kampung nelayan.
Dalam satu wawancara bersama Straits Times pada 2012, Encik Ng mengimbas kembali jerih payah keluarga besar beliau di mana ayahnya perlu menyara 11 anak sebagai pencari nafkah tunggal yang bekerja sebagai penjual ikan.
"Salah satu perkara yang membuat saya sedih adalah ketika ibu saya perlu meminjam wang daripada jiran tetangga ketika keadaan mendesak," kongsinya.
Sebagai anak kedua dalam keluarga, Encik Ng merasakan beliau harus membantu keluarganya sejak usia sangat muda dan ini dilakukan dengan membantu bapanya di pasar ataupun menjaga adik-adik.
Kangkar "ditakluki gengster" ketika itu dan Encik Ng, yang dibaptiskan sebagai seorang Katolik ketika berusia tujuh tahun, menzahirkan penghargaan kepada sebuah gereja Katolik dan sekolah Monfort kerana membantu beliau menumpukan perhatian kepada pelajaran.
Encik Ng menerima biasiswa
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk mempelajari fizik di Universiti Singapura (waktu itu). Beliau kemudian melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang pengurusan dari Universiti Stanford.
Encik Ng berkahwin dengan rakan sekolahnya dari Monfort, Patricia, pada 1972 dan mereka dikurniakan tiga anak, berusia 50, 47 dan 33 tahun. Cik Ng meninggal dunia pada 2005 akibat barah perut.
Beliau bertunang dengan Cik Sybil Lau, 45 tahun, seorang warga Singapura yang dilahirkan di Kanada. Cik Lau memulakan kerjayanya sebagai seorang penganalisis kewangan di Goldman Sachs dan selama ini menguruskan kekayaan keluarganya sejak 2009.
Profil Cik Lau di laman LinkedIn menyatakan bahawa dirinya merupakan anggota lembaga pejabat keluarga hartawan Amerika, Ray Dalio, di Singapura. Cik Lau juga berkhidmat dalam SG Enable, agensi yang ditubuhkan pemerintah bagi membantu mereka yang kurang upaya. Di samping itu, beliau ialah pengarah bebas WELL Health Technologies, sebuah pengendali klinik Kanada dan rakan kerja pemacu usaha inovasi, The Delta.
Akhbar Cina Shin Min pada Sabtu lalu melaporkan bahawa pasangan itu sudah mengenali satu sama lain selama empat tahun dan anak-anak Encik Ng merestui hubungan mereka.
KERJAYA
Encik Ng memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam pada 1970 sebagai seorang penganalisis pelaburan di jabatan pelaburan luar negara Kementerian Kewangan.
Beliau berpindah ke Penguasa Kewangan Singapura apabila bank pusat itu ditubuhkan pada 1971 untuk mengambil alih peranan menguruskan rizab Singapura.
Pada 1986, Encik Ng menyertai GIC dan mengetuai jabatan ekuiti dan bon. Beliau turut memegang jawatan lain, termasuk selaku pengarah pengurusan pasaran awam, sebelum dilantik sebagai ketua pegawai pelaburan pada 2007 - jawatan yang dipegang sehingga bersara pada 2013.
GIC, dana perbadanan pelaburan pemerintah Singapura, menyatakan bahawa Encik Ng memainkan peranan penting dalam pengurusan pelaburan dalam pasaran awam, selain banyak meningkatkan keupayaannya dalam bidang pelaburan.
Encik Ng juga pengerusi pengasas Pasaran Kewangan Antarabangsa Singapura (Simex) dari 1983 hingga 1987. Simex adalah pasaran kewangan pertama di Asia, menurut Futures Industry Association yang menyertakan Encik Ng dalam Dewan Kemasyhurannya pada 2009.
Pasaran kewangan itu kemudian digabungkan dengan Bursa Saham Singapura (SGX) sebagai sayap terbitannya.
Atas sumbang Encik Ng kepada Singapura, beliau dianugerahi Pingat Jasa Gemilang pada 2012.